“Wahai Luth! Bukakan pintu ini dan serahkan anak-anak muda itu kepada
kami. Kami sangat memerlukan mereka. Buka pintu ini cepat!” Salah
seorang daripada mereka terjerit-jerit sambil menendang daun pintu rumah
Nabi Luth.
“Wahai Luth! Engkau larang kami dari mendekati anak muda, sebaliknya
engkau sendiri menyimpan tiga orang pemuda,” jerit satu suara yang lain.
“Ya Allah, selamatkanlah kami,” doa Nabi Luth sambil memandang ke arah para tetamunya.
“Wahai kaumku! Aku ada anak gadis. Aku bersedia mengahwinkan kamu
dengan mereka sekiranya kamu mahu. Tinggalkanlah perlakuan buruk kamu
selama ini. Dan janganlah kamu ganggu para tetamu kami ini.”
Nabi Luth tidak henti-henti menasihati kaumnya.
Nabi Luth tidak henti-henti menasihati kaumnya.
“Ah! Usah hendak bersyarah di sini. Kami ke mari bukan untuk
mendengar leteranmu. Kami ke sini untuk bersuka ria.” Suara-suara mereka
kian tegas dan semakin tidak terkawal.
“Hai Luth! Engkau sememangnya tahu kami tidak perlu kepada wanita. Tapi kami yakin engkau tahu apa yang kami perlukan sekarang.”
“Baik engkau serahkan mereka kepada kami segera. Kalau tidak kami akan pecah-pecahkan pintu ini.”
Nabi Luth tahu kemungkaran apa yang akan terjadi sekiranya tetamunya
jatuh ke tangan mereka yang telah tenggelam dalam perlakuan yang
melampaui batas itu. Baginda juga sedar, kalau dipertahankan sekalipun,
mereka pasti cuba untuk menceroboh masuk. Kini, apa yang mampu dilakukan
oleh Nabi Luth hanyalah berdoa kepada Allah SWT. Hanya kepada Allah
sahajalah tumpuan terakhir, tempat baginda berserah diri dan bergantung
harap.
Namun baginda dapati suatu keanehan; tiada terbayang walau sedikit
pun tanda-tanda kebimbangan pada wajah para pemuda itu. Mereka kelihatan
begitu tenang dan bersahaja.
“Wahai Luth! Usah khuatir dengan ugutan mereka,” kata salah seorang
daripada pemuda itu. Nabi Luth seakan-akan tidak percaya dengan apa yang
diucapkan oleh salah seorang tetamunya. Baginda memandang tepat ke arah
pemuda yang bersuara itu. Bunyi ketukan pada pintu bertambah kuat dan
keras.
“Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kami adalah malaikat utusan Tuhanmu.
Kami jamin mereka tidak akan dapat mengganggu kamu. Bawalah keluarga dan
pengikutmu keluar dari sini di akhir malam ini kecuali isterimu kerana
dia termasuk golongan yang derhaka.”
Kini, barulah Nabi Luth sedar bahawa pembalasan dari Allah ke atas
sikap keterlaluan kaumnya telah hampir tiba… Tepat ketika seperti yang
ditentukan oleh Allah, penglihatan kaum yang derhaka itu ditarik, dan
serta-merta segalanya makin kelam, hitam. Setiap mata telah menjadi
buta. Akibatnya, keadaan menjadi hingar-bingar dan bercelaru.
Masing-masing jadi buntu dan hilang haluan, lantas bertembung antara
satu sama lain.
Menjelang Subuh, tatkala Nabi Luth, beberapa keluarga dan pengikutnya
sudah berada agak jauh dari sempadan kota Sadum, maka turunlah azab
Allah SWT. Allah memerintahkan malaikat memotong kedua-dua belah
sempadan bumi warga Sadum itu dengan kedua-dua sayapnya. Kemudian bumi
itu dijulang tinggi ke langit dan diterbalikkan bahagian yang atas ke
bawah, yang bawah ke atas, lalu dihempas sekuat-kuatnya ke dasar bumi.
Hancur berkecailah kota Sadum dan turut terkuburlah sama para pengamal
homoseks di perut buminya.
Kemudian kawasan itu dihujani pula oleh batu-batu daripada tanah yang
terbakar dengan bertubi-tubi. Dan di dataran itu jugalah akhirnya
terbentuknya sebuah lautan. Lautan yang digelar sebagai `Laut Mati`. Ia
adalah lambang kebesaran kerajaan Tuhan, juga sebagai tanda keadilan-Nya
di dunia lagi agar manusia sentiasa mengagungkan dan membesarkan
syariat-Nya.
source: http://kisahteladan.info/
source: http://kisahteladan.info/
No comments:
Post a Comment