Sunday, January 27, 2013

FAUZI SHAARI REHAT PANJANG

POKOK SENA - Pemain Felda United, Ahmad Fauzi Saari yang patah tangan kanan dalam kemalangan di Kilometer 407.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Ipoh, dekat Tanjung Malim awal pagi semalam dijangka berehat untuk tempoh yang agak panjang sebelum beraksi semula.
Ahmad Fauzi berkata, dia akan berehat di rumah keluarganya di Kulim sepanjang tempoh pemulihan.
"Saya belum jumpa doktor untuk rawatan sebab nak hadiri pengkebumian sahabat saya.
"Lepas urusan ini selesai baru saya akan ke hospital dan boleh tahu sehingga bila kecederaan saya dijangka pulih," katanya ketika ditemui Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Lala di sini semalam.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 1.40 pagi, kereta jenis BMW dinaiki Fauzi dipercayai terbabas di selekoh sebelum merempuh penghadang lebuh raya sebelum terbakar.
Rakannya, Muhammad Khairul Adnan Zakaria, 26, yang memandu kereta meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Ahmad Fauzi, ketika kejadian dia dah sahabatnya dalam perjalanan pulang ke Kedah.

HARIMAU KUMBANG IMPI SUKU AKHIR

PULAU PINANG - Skuad Harimau Kumbang yang melakar kejutan apabila menyingkirkan pendahulu Liga Perdana, PDRM pada pusingan pertama Piala FA berikrar untuk meneruskan aksi cemerlang mereka dalam saingan piala itu pada pusingan kedua.
Pengurus pasukannya, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah mengatur perlawanan persahabatan menentang kelab dari Thailand, Songkla FC pada 1 Februari ini sebelum bertemu Terengganu pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Bandaraya.
"Kejayaan melangkah ke pusingan kedua telah membuktikan bahawa kami serius untuk kembali memeriahkan saingan utama bola sepak tempatan setelah hilang sekian lama.
" Bagaimanapun, saya sedar saingan sengit yang bakal dihadapi oleh kami. Jadi, atas faktor itulah, persiapan bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi memastikan sasaran untuk mara ke peringkat suku akhir berjaya dicapai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam aksi di kubu kuat lawan iaitu Stadium Hang Jebat pada Jumaat lalu, skuad kendalian Merzagua Abderrazak bangkit dari ketinggalan untuk menyingkirkan PDRM dengan keputusan 2-1.
Menurut Mohd. Azizudin, sebelum bertemu PDRM, pemainnya melalui beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk dengan kelab PSSM Medan, di Indonesia.
"Kami juga akan memulakan kempen Liga FAM pada 17 Februari ini bertemu Kuantan FC dan kembalinya pemain yang pulih dari kecederaan seperti Daniel Fazly yang berpengalaman luas sudah pasti akan menguatkan lagi jentera serangan pasukan.
"Perlawanan pusingan kedua bertemu Terengganu sangat penting kerana mereka merupakan bekas juara Piala FA dan dibarisi ramai pemain hebat," katanya.
Kali terakhir Pulau Pinang menjulang Piala FA ialah pada 2002 dengan menewaskan Perak 1-0 dan ia juga merupakan kejayaan terakhir mereka sebelum mengalami zaman kejatuhan.