Monday, November 19, 2012

PERSATUAN BOLASEPAK WILAYAH PERSEKUTUAN

Presiden KLFA Datuk Astaman Abdul Aziz berkata pertukaran nama itu mendapat persetujuan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan mereka akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 4 Dis ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

"Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah menolak permohonan daripada Labuan dan Putrajaya untuk membentuk sebuah persatuan bola sepak yang baharu kerana dua buah kawasan ini di bawah Wilayah Persekutuan.

"Setelah meneliti perkara itu, kita bersetuju supaya mereka bergabung dengan kita bagi membentuk sebuah persatuan bola sepak yang lebih mantap," katanya kepada Bernama hari ini.

Untuk rekod, KLFA sebelum ini dikenali sebagai FTFA ketika penubuhannya pada 1975 dan bekas Presiden FAM Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah merupakan presiden mereka yang pertama.

Persatuan berkenaan kemudian ditukar nama kepada KLFA pada 1987 sehingga sekarang.

Mengulas lanjut, Astaman berkata pasukan itu akan kekal dengan nama pasukan Kuala Lumpur walaupun persatuan berkenaan bakal ditukar nama kelak.

Mengenai persediaan pasukan itu menghadapi Liga Perdana musim depan, Astaman berkata pihaknya akan mengadakan sesi pemilihan pemain tempatan serta import dalam tempoh terdekat.

"Penaja kita (KLFA) telah berjaya mendapatkan khidmat seorang jurulatih daripada Republik Czech bagi melatih pasukan Kuala Lumpur untuk menghadapi Liga Perdana tetapi dengan beberapa syarat yang ditetapkan oleh kita.

"Saya tidak boleh mendedahkan syarat tersebut sehingga jurulatih itu menandatangani kontrak bersama kita," katanya.

Sebelum ini, penyerang mereka iaitu Mohd Afiq Azmi memilih untuk menabur bakti bersama Selangor selain jurulatih, Razip Ismail yang mengikat kontrak bersama FAM untuk melatih pasukan Harimau Muda B (skuad bawah 21 tahun kebangsaan) pada musim depan.

Skuad warga kota bakal beraksi dalam Liga Perdana musim depan selepas menduduki tangga terakhir daripada 14 pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim ini, apabila hanya mengutip lima mata daripada 26 perlawanan liga.


SUMBER:http://www.stadiumastro.com/Arena/BolaSepakMalaysia/Artikel

No comments:

Post a Comment